Wednesday, July 9, 2014

ABIM Kutuk Serangan Ke Atas Gaza

10 Julai 2014:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk serangan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Serangan yang bermula sejak Selasa lalu telah mengorbankan 27 nyawa disamping mencederakan 130 orang yang lain. Serangan ini dilakukan oleh tentera Israel yang mahu bertindak balas atas serangan roket Hamas ke atas penempatan Israel.

Walaupun begitu, tiada nyawa orang Israel yang terkorban kerana peralatan pertahanan mereka yang canggih manakala rakyat Palestin terutamanya wanita dan kanak-kanak yang menanggung derita daripada serangan roket dari Israel. Rejim Israel mendakwa mereka mensasarkan kem Hamas namun begitu ramai rakyat awam yang menjadi mangsa roket rejim Israel. Serangan ini datang sewaktu umat Islam sedang menjalani ibadah ramadhan.

Ternyata rejim Israel langsung tidak menghormati hak asasi manusia yang menjamin penganut agama menjalankan kewajiban agama tanpa gangguan. Malah, usaha rundingan damai antara rejim Israel dan rakyat Palestin akhirnya hancur berkecai akibat kesombongan rejim yang mahu memastikan penguasaan berterusan mereka ke atas Tebing Barat.

Konflik berdarah ini sekali lagi adalah ulangan serangan ganas rejim Israel yang sering menghukum rakyat Palestin apabila didapati seorang rakyat Israel mati walaupun perkara itu belum lagi dibuktikan adalah dibuat oleh orang Palestin. ABIM mengharap umat Islam bersatu dalam dapat mendesak masyarakat antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat dan sekutunya dalam memberi tekanan ke atas rejim.

Walaupun pada masa ini kenyataan rasmi Amerika Syarikat masih lagi menyalahkan Hamas namun rakyat seluruh dunia sudah sedar akan kekejaman dan ketidakadilan rejim Israel. Rejim Israel sekarang berada pada tahap paling tidak popular pada pandangan masyarakat dunia. Satu demi satu sekutu Israel di Barat mula menjauhkan diri. Majlis Keselamatan PBB perlu bersidang segera dan mengambil tindakan atas jenayah perang Israel.

Konflik ini adalah peluang terbaik untuk menundukkan kesombongan rejim dengan mendesak mereka meruntuhkan tembok dan menghentikan sebaran pembangunan di Tebing Barat. Hak asasi rakyat Gaza juga perlu dihormati dengan membuka sempadan untuk memberi laluan bantuan makanan dan perubatan. Negara-negara Islam juga perlu sekali lagi melupakan persengketaan dengan bersatu di belakang Palestin mendapatkan tanah air mereka dari terus dijajah oleh rejim Israel.

ABIM juga menggesa umat Islam di Malaysia melakukan solat hajat dan Qiyamullail memohon pertolongan Allah ke atas rakyat Palestin dalam menghadapi serangan rejim Israel yang akan bertambah dalam beberapa hari ini. ABIM sendiri akan mengadakan solat hajat perdana pada 19 Julai ini di Masjid As-Solihin, Teras Jernang, Bangi.

Mohamad Raimi Ab Rahim, Naib Presiden, ABIM

No comments:

Post a Comment